Perempuan bagaikan angin; lembutnya melenakan
ributnya menggusarkan
Adakalanya mereka seperti ibu
menyaji kasih, menghidang sayang
Adakalanya mereka seperti anak
ingin dibelai, minta dimanjakan
Adakalanya mereka seperti nenek
berleter seadanya, merungut semahuannya.
Namun,
Teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.
Bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.
Tiba-tiba isteri merajuk; pandai-pandailah memujuk
Buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suaranya
Teliti dengan hati yang terseni - rasional atau emosi ?
Andainya emosi, belailah emosi itu - Jangan cuba dihadapkan secara rasional
Kerana si dia tak akan terdaya mengunyah hujah
Berilah walau seribu sebab
Lengkap dengan perangkaan statistik atau dokumen saintifik
Berserta dengan beberapa affidavit
Dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.
Dalam situasi ini, fikiran telah ditawan perasaan
Sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa
Jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.
.
Masih gagal ?
.
Cuba gunakan sentuhan
Semarakkan belaian.
Masih gagal juga ?
Tunggu saja rajuknya reda
Emosi isteri bagai riak-riak air dalam cawan
Jangan digoncang…… buat selamba
Lambat laun, gelombang akan tenang
Air dicawan akan kita minum jua.
Tapi awas…..
Kalau ternyata, rajuknya berfakta
Masamnya berdata, geramnya berilmiah, marahnya ada prima facie
Ini rajuk taraf tinggi namanya
Perlu ditangani berhati-hati
Kalau ternyata benar, apa salahnya kita terima
Mengaku lalu berjanji serta berikrar
"Sayang, abang tak ulang lagi"
katakan "Sayang, maafkan abang yang alpa"
bisikkan "Darling, I lupa"
Hulurkan tangan, pinta kemaafan
Pendekatan kasanova, tapi hati suci
Kan? :)
Rajuk isteri seperti mangga muda
Perisanya masam
tetapi…
Kalau kena cicahnya
Enaknya akan terasa.
Ingat, wahai suami
Api yang panas akan padam oleh salji yang dingin.
Arghh…
Tiba-tiba isteri merungut
Malah kadangkala agak mengugut
Minta aksesori serta perabut, Minta Villa yang tersergam indah
atau mahligai di lereng bukit
Sedangkan kita bukan Shah Jehan yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya
tetapi isteri pula, persis Nur Jehan
yang meminta petanda keagungan cintanya
Katanya "Seabadi permata, semergelapan intan"
sedangkan ditangan kita
cuma cincin tembaga.
Aduh..
Peritnya mengukur cinta
dalam ukuran mayam atau menimbang setia
menerusi Bursa Saham papan utama
Kasih isteri, turun naik mengikut kadar tukaran wang asing
Tiada guna menyesali diri
Diakan dulu pilihan kita ?
Semasa mekarnya dia dihargai, dipuja-puji
Dia kini sudah menjadi ibu pada anak-anak kita
Sudah takdir…
Permata yang dipilih
perlu digilap semula.
Namun
Putus asa jangan sekali
terimalah dia, dengan redha.
Justeru isteri pada hakikatnya adalah bayang-bayang suami
Wanita adalah tulang rusuk yang bengkok
Luruskan dengan berhati-hati; bertegas tapi jangan berkeras
Lembut tapi jangan reput.
Katakan RM bukan segala-galanya
Lalu pada saat yang kudus setelah bersolat bersama
Bisikkanlah : "Duhai isteriku marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati, marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci. Kita cari harta tetapi itu bukan segala-galanya"
"Padamu, isteri. Istanamu dihati ini. Padamu sayang. Kalung cintamu dijiwa ini"
Puuuh…
Akan tiba masanya bila ‘isteri’ di hati tapi kurang di mata
Usia meningkat kecantikan tergugat
Dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus
Betis, tidak lagi bunting padi
Pipi, bukan lagi pauh dilayang
Apakah dengan itu akan berkurang cinta kita ?
Jika berkurang, nyatalah cinta kita selama ini cinta di mata bertapak di body
Tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah
Ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi.
Itulah cinta sejati.
Namun tidak salah.
Kalau ada kesempatan ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat
Tapi ingat niat kerana Tuhan, bukan kerana ingin kuruskan badan
Tapi Tuhan Maha Penyayang
Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami
Tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan
Sama-samalah merampingkan badan
Yang terlebih dikurangkan
Jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh
Apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan.
Bukan masanya lagi merenung dara
tapi kini saat menghitung dosa
Lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti
Moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia
Di dunia ini dan di akhirat nanti
Itulah yang dikatakan : Hidup berdua, ’selepas’ mati pun bersama.
Uhhh…
Kekadang isteri mengamuk
dengan ombak prasangka dan taufan cemburu
Kekadang disergahnya kita
Ketika keringat masih membasah
Baru menjengah pintu rumah.
Ketika itu nilailah diri
Mungkin kita berdosa dengan Tuhan
atau bersalah dengan insan
Mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan yang telah kita lakukan
Lalu datang teguran, amaran dan peringatan
Secara ‘indirect’ dari Tuhan
Hadapkanlah diri ke cermin hati, kaji diri satu persatu
Kalau liar, berhentilah
Kalau berdosa, bertaubatlah
Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
Nasihatkanlah baik-baik
Bukan senang nak senang
Ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua
"Suami yang bersabar dengan isteri yang jahat akan mendapat pahala Nabi Ayub"
atau ingatlah pesan Sayidina Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri :
"Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri yang banyak membantu kita. Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu"
"Dia yang membantu menjaga makan minum kita.
Dia yang mencuci kain baju kita
Dia yang membantu membersihkan rumah kita…
lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya ? "
Marilah sama-sama kita tabur secubit salji pada segenggam api.
Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan.
Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini
walaupun sudah berdekad-dekad usianya.
Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
Marilah kita pertahankan bersama si dia.
Si diaku, si diamu
Cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber, biar setia kita makin waja.
Biarlah skrin-skrin internet atau inranet memaparkan yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita.
Bicara ini diakhiri dengan satu coretan
yang mungkin boleh diguriskan pada kad hari lahir isteri
atau kad ulang tahun perkahwinan
atau
Surat biru yang ingin kau utuskan padanya…
Atau kau pahatkan saja di halaman hatimu pada malam nanti :
"Aku hanya seorang suami yang menerima setulus hati seorang isteri"
Adaptasi daripada ukhwah.com
Aku : Setiap kali aku baca ini, mata aku berair. Aku yakin, pencipta gurindam ini adalah seorang lelaki yang sangat romantik :)
3 komen:
apsal aku takleh nanges? sebab aku takde feel. aku tak rasa nak kawen lagiks. aiseyy.
nanti kalau nak kawen, nak curik mende ni.
ateeka : mata berair je. takdelah nangis ;P
curilah. aku pun curi jugak. :)
belum sampai seru. hehehehe =P
Post a Comment